Bestnya bercuti ala Puteri Raja Dahulu Kala
Salam Jumaat semua...
Baru-baru ni kan sis ada sertai Road To Agro Tourism Siri ke 4 yang dianjurkan oleh Majlis Pelancongan Malaysia (MTC). Terdapat banyak lokasi menarik wajib dikunjungi di utara Semenanjung berjaya dibongkarkan sepanjang siri penjelajahan tersebut. Program hasil kerjasama antara MTC, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) tersebut antaranya telah mengenalpasti sebuah resort percutian yang mampu membuatkan anda mengimbau keindahan kampung suatu ketika dahulu!
Bayangkan betapa seronoknya menikmati keunikan inapan ala kampung yang lengkap dengan kemudahan moden dan selesa. Tambahan pula, boleh menikmati kehijauan sawah padi serta merasai kedinginan berenang di sebalik batu kapur serta merehatkan minda dengan keindahan alam semula jadi. Terasa bagaikan di syurga dunia.
Keindahan suasana kampung ini dapat dinikmati kala menginap di Keriang Hill Resort. Keriang Hill terletak di kaki Gunung Keriang, Kedah dengan topografi bukit batu kapur serta sawah padi terbentang luas. Ianya terletak 10 kilometer daripada bandar Alor Setar, Kedah yang terkenal dengan panggilan Jelapang Padi Malaysia.
Resort ini mempunyai 15 pondok penginapan dengan pelbagai rekaan bersejarah beserta landskap dengan konsep rumah kampung terdahulu. Menariknya, ia adalah reka bentuk asal rumah tradisional yang terdapat di sekitar Kedah. Yang mana rumah ini dibina oleh tukang handal untuk memudahkan ianya diangkat dan dipindahkan. Rumah-rumah ini kemudiaannya dibawa ke kaki bukit ini dan dibaiki untuk dijadikan pondok penginapan.
Selain memberikan memori istimewa kepada pengunjung yang menginap di Keriang Hill, santapan ala Puteri juga dapat dinikmati di restoran The Puteri. Restoran ini menawarkan pelbagai sajian daripada masakan tempatan hingga ke masakan barat. Dengan bertemankan ketenangan tasik, juadah yang dinikmati pasti menjanjikan kepuasan kepada para pelanggan.
Terdapat dua jenis bilik penginapan yang disediakan iaitu pondok pasangan dan keluarga. Perbezaan pondok ini adalah pondok pasangan dilengkapi sebuah katil King manakala ponodk keluarga disertakan dua buah katil Queen. Harga bermula daripada RM200 - RM300 termasuk sarapan. Antara kemudahan lain adalah dewan, bilik mesyuarat, dataran, gimnasium, kolam renang dan pentas utama.
Ulasan
Catat Ulasan